Malam itu hujan gerimis turun. Angin pun bertiup
sungguh sangat dingin. Tapi kedua suami isteri yang tinggal di sebuah rumah
kecil itu berkeinginan betul hendak keluar juga. Kerana ibu si suami itu dalam
keadaan sakit tenat, mungkin hanya tinggal menunggu waktu saja. Hanya yang
sangat merisaukan hati mereka, bagaimana dengan anaknya Harun, anak mereka yang
baru saja berumur empat bulan. Kalau diajak pergi takut masuk angin dan dapat
menyebabkan sakit.
“Bagaimana Aminah, kita bawa saja Harun?” Tanya si
suami.
“Jangan bang, angin kencang,” cegah isterinya.
“Habis siapa yang akan menjaganya di rumah? Apakah
mungkin akan kita tinggalkan dia sendirian? Aku tak sanggup, sebab rumah kita
ini terlalu dekat dengan tanah perkuburan,” kata si suami.
“Ah, abang, janganlah berfikir yang bukan-bukan,”
kata isterinya yang cantik dan manis itu. “kan ada Hurairah (kucing) di rumah.
Dia saja kita suruh menjaga Harun.” Kata si isteri.
“Betul juga, mengapa aku tidak ingat pada si
Hurairah.” Balas suaminya dengan gembira.
“Meong….” teriaknya kemudian. Maka terdengarlah
suara Hurairah membalas suara tuannya itu. Lalu dengan langkah-langkah kecil
dia mendekati tuannya.
“Wahai Hurairah, malam ini engkau tidak usah
menjaga padi dari dimakan oleh tikus-tikus, kami berdua mahu pergi, oleh kerana
itu jagalah si Harun,” kata si suami.
Kucing yang cantik itu mengeong sambil
mengibas-ngibaskan ekornya. Kalau boleh berkata dia akan menjawab: “Jangan
bimbang tuan, saya akan menunggu dan menjaga si Harun supaya ia tertidur dengan
nyenyak. Tidak akan saya izinkan seekor nyamuk pun hinggap di tubuhnya.”
Setelah berpesan begitu, maka pasangan suami dan
isteri itu pun berangkat dengan perasaan lega. Mereka tahu bahawa Hurairah akan
melakukan pekerjaannya dengan baik, sebab dia adalah seekor kucing yang sangat
setia dengan majikannya.
Setelah melihat majikannya sudah pergi, maka
Hurairah dengan cepat dan diam-diam melompat ke atas tempat tidur. Ia duduk di
sebelah si Harun yang tengah mendengkur dengan nyenyaknya. Ekornya
dikibas-kibaskannya agar tidak seekor nyamuk pun yang berani mengganggunya.
Matanya dengan tajam mengawasi sekelilingnya, sementara kedua kaki depannya
siap mencakarkan kukunya kepada siapa saja yang berniat untuk mengusik
ketenangan majikan kecilnya.
Menjelang pukul sepuluh malam, tiba-tiba kucing itu
mendengar bunyi mendesis dari bawah tempat tidur. Dengan secepat mungkin
Hurairah memasang kuda-kuda serta siap untuk menghadapi segala kemungkinan.
Matanya tiba-tiba terbeliak terkejut dan marah, ketika melihat sebuah mulut
yang ternganga dengan taring dan lidah yang menjulur panjang. Rupanya dia
adalah seekor ular besar yang sudah siap untuk menelan Harun yang masih kecil
itu.
Dengan cepat Hurairah melompat, giginya langsung
masuk menghunjam ke leher ular tersebut, dan cakarnya menyerang dengan buas.
Ular itu murka kerana niatnya dihalang-halangi oleh makhluk lain. Matanya merah
seperti besi terbakar. Dia membalas menyerang dengan hebat. Badan Hurairah
dibelit dengan kuat, sambil mulutnya mematuk-matuk muka Hurairah.
Hurairah hampir kehabisan tenaga, kerana dibelit
oleh ular besar itu, manakala mukanya pun telah berlumuran darah. Namun dia
tidak mahu binasa sebelum dapat membunuh ular tersebut. Dengan segala kemampuan
dan kesakitannya, ia berusaha untuk menyelamatkan nyawa anak tersayang kedua
majikannya itu. Akhirnya ia berhasil melepaskan diri, lalu dengan cepat
menerkam leher ular itu. Digigitnya batang leher makhluk jahat tersebut sekuat
tenaga sehingga akhirnya matilah musuhnya itu.
Begitu dilihatnya binatang pengganggu itu sudah
tergolek kaku, barulah Hurairah dengan sisa-sisa tenaganya naik lagi ke atas
tempat tidur si Harun dan duduk semula di samping si Harun. Anak kecil itu
masih tertidur dengan nyenyak. Hurairah menjilat-jilat lukanya, sementara rasa
pedih dan letih terasa sekujur badannya. Mulutnya masih penuh dengan darah ular
tadi, sedangkan pada mukanya terdapat luka-luka yang menganga.
Belum pulih lagi tenaganya, akan tetapi secara
tiba-tiba dia mendengar suara majikannya di halaman rumah. Dengan gerakan yang
lemah dan lunglai, Hurairah turun dari tempat tidur. Perlahan-lahan ia berjalan
menuju ke pintu, menyambut kedatangan kedua majikannya yang sangat dicintainya
itu. Dilihatnya ibu Harun berjalan menunduk sambil terisak-isak. Bapanya pula
terlihat sangat sedih. Hurairah pun ikut berdukacita memperhatikannya.
Mereka berbimbingan tangan memasuki halaman rumah.
Ketika mereka tiba di depan pintu, Hurairah berbunyi lembut: “Ngeong….,
ngeong…., sambil terhuyung-huyung mendekati majikannya.
Tiba-tiba saja ibu Harun menjerit, “Bang….! Harun
bang….!”
Suaminya terperanjat tapi tidak mengerti, “Mengapa
Harun Aminah?” Tanya suaminya.
“Lihatlah si Hurairah, mulutnya berlumuran darah.
Pasti anak kita telah diterkam dan dibunuhnya. Oh, Harun…. anak kita, bang.
Bunuh Hurairah, bang! Ia telah memakan anak kita!” Kata si isteri.
Si suami baru tahu apa yang dimaksudkan oleh
isterinya. “Betul! Mulut Hurairah penuh dengan darah segar, pasti Harun telah
diterkamnya.”
Tanpa berfikir panjang, si suami lalu mengambil
besi. Dengan penuh kemurkaan lalu dipukulnya benda keras itu ke tubuh si
Hurairah. Kucing itu menjerit; “ngeong….” Lelaki itu bertambah marahnya lagi,
lalu diambilnya pula sebuah batu, ditimpakannya ke kepala Hurairah.
Maka bercucuranlah darah dari kepala binatang yang
tidak berdosa itu. Badannya terkejang-kejang. Dari matanya mengeluarkan air
mata yang jernih satu-satu. Setelah mengeong untuk terakhir kalinya, kucing
yang cantik itu pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Melihat korbannya sudah mati, maka pasangan suami
isteri itu terburu-buru masuk ke bilik. Alangkah terkejutnya mereka ketika
melihat suasana bilik itu. Yang nampak pertama kali di depan pintu adalah
bangkai seekor ular besar yang hampir putus lehernya. Maka dengan hati
berdebar-debar mereka berlari ke tempat tidur. Ternyata anaknya Harun masih
tetap dalam keadaan tertidur nyenyak.
Barulah mereka dapat meneka apa yang telah terjadi
selama mereka tidak berada di rumah tadi. Bukan Hurairah yang bersalah,
ternyata kucing itu telah berjuang mati-matian untuk menyelamatkan anak mereka.
Seketika itu juga pucatlah wajah mereka. Mereka menyesal berkepanjangan.
Ternyata Hurairah adalah kucing yang tetap setia.
Dia tidak mempedulikan keselamatan dirinya asalkan tugas yang dipercayakan
kepadanya ditunaikannya. Kalau perlu dirinya sendiri menjadi korban untuk
menyelamatkan nyawa majikan kecilnya. Namun balasan yang diterimanya bukan
belaian kasih sayang dan terima kasih, akan tetapi nyawanya dihabiskan dengan
penuh kekejaman.
Suami isteri itu menangis tersedu-sedu menyesali
kesalahannya, ia bertaubat kepada Allah SWT serta berjanji untuk tidak lagi
berbuat semena-mena terhadap binatang yang tidak berdosa, tanpa periksa
terlebih dahulu. Bangkai Hurairah diangkat dan diciumnya, tapi yang sudah pergi
tidak akan kembali, dan penyesalan mereka juga sudah tidak bererti, kerana yang
sudah mati itu tidak akan hidup lagi. Cuma sebagai pedoman atau pengajaran buat
masa yang akan datang.